BUDAYA MEMBACA ASAS KEJAYAAN

1. Pengenalan

Kejayaan merupakan satu harapan yang diidam-idamkan oleh setiap insan. Walau apa sekalipun latar belakang seseorang, dia akan tetap menginginkan satu kejayaan dalam bidang yang diceburinya sama ada dari sudut pekerjaan, ilmu dan minat serta hobi. Pastinya kesemua idaman dan impian untuk beroleh kejayaan ini mempunyai pelbagai cara dan kaedah untuk digapai akhirnya dan tidak ada seorangpun yang mampu untuk menafikan bahawa antara cara dan jalan paling ampuh untuk merealisasikan kesemua kehendak tersebut adalah dengan membaca. Atas dasar itu, saya akan cuba untuk berkongsi dengan teman pembaca betapa pentingnya pembacaan dalam mengasah satu kejayaan.

2. Definisi

Dari sudut taarif , membaca didefinisikan oleh Kamus Dewan dengan pelbagai maksud. Saya akan memilih salah satu maksud membaca iaitu: memerhatikan isi sesuatu yg tertulis atau tercetak dgn teliti dan memahamkan makna kandungannya. . Adapun maksud kejayaan, kejayaan diambil daripada kata “jaya” dan “berjaya” diertikan dengan: menang, berhasil, mencapai kemajuan. Hasil yang boleh kita simpulkan di sini dengan cara paduan dua kalimah ini ialah kejayaan dan kegemilangan dalam mana-mana bidang itu adalah berpunca daripada sikap memahami dan mengertikan sesuatu yang dijumpai dalam bentuk tulisan melalui proses membaca.

3. Islam Dan Konsep Membaca

a) Ilmu bakal membuahkan keimanan

Islam adalah satu-satunya agama yang sangat menuntut penganutnya agar mendalami ilmu yang pastinya antara cara yang paling perlu diutamakan adalah dengan pembacaan.
Saya menyatakan pandangan ini berasaskan kepada konsep kebenaran yang sangat dituntut oleh Islam. Ini kerana Islam adalah satu-satunya agama yang Maha Benar yang didokongi oleh para anbia semenjak Nabi Adam Alaihissalam sehinggalah tirai kenabian ditutup oleh Nabi Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Alihi Wasallah.
Di atas konsep bahawa hanya Islam sahajalah sebagai agama yang benar maka Islam sangat meminta manusia agar mengkaji ilmu pengetahuan dan logik kerana apabila manusia mengkaji ilmu,pasti dia akan menemua jalan penghujung yang akan melaungkan dengan bicara wahyu bahawa:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Yang bermaksud:
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana .

Atas sebab itulah kita dapati para ilmuan Islam sangat bersemangat untuk mengkaji ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang fiqh, astronomi, perubatan, sains dan sebagainya kerana mereka tidak akan gusar sama sekali dari sudut akidah Islam yang mereka anuti kerana ilmu pengetahuan tidak akan sama sekali bercanggah dengan agama Islam malahan semakin tersingkap jendela ilmu maka semakin jelaslah bahawa Islam yang dibawa oleh para rasul yang disudahi oleh Rasulullah adalah satu-satunya agama yang benar dari sisi Allah Taala, satu-satunya tuhan yang menjadikan seluruk makhluknya.

Ini berbeza sama sekali dengan doktrin-doktrin sesat dan agama-agama selain Islam. Pemuka agama-agama serta doktrin tersebut sangat risau dan gusar dengan kebangkitan tamadun ilmu. Ini kerana mereka sedar semakin berkembangnya ilmu pengetahuan maka ia akan membawa kepada zaman kewafatan pemikiran sesat mereka yang tidak akan mampu untuk berhadapan dengan ilmu, logik dan kebenaran.

Sebagai contoh, zaman gelap Eropah memperlihatkan kepada kita pententangan hebat antara pihak gereja dan pihak ilmuan Eropah apabila golongan ilmuan Eropah mengeluarkan teori yang bercanggah dengan pegangan pihak gereja Rom. Sebagai contoh, Galileo adalah mangsa kekejaman sikap pihak gereja Rom yang tidak mampu untuk menerima kesilapan pegangan gereja yang berpandangan bahawa mataharilah yang mengelilingi bumi. Ini bermula sekitar tahun 1609 apabila Galileo menyatakan kepercayaannya bahawa teori yang dinyatakan oleh Copernicus yang berpandangan bahawa bumi yang mengelilingi matahari adalah berada di pihak yang benar. Namun pada waktu itu Galileo tidak tahu cara untuk membuktikannya.

Di tahun 1609, Galileo mendengar khabar bahawa teleskop telah ditemui di Belanda. Meskipun Galileo hanya mendengar samar-samar saja mengenai peralatan itu, tetapi berkat kegeniusannya dia mampu menciptakan sendiri teleskop. Hasil daripada kajian beliau seterusnya menerusi pandangan beliau ke angkasa lepas melalui teleskop dicipta oleh beliau, beliau secara yakin mengatakan bahawa bumi yang mengelilingi matahari seterusnya menolak pandangan gereja Rom yang berpandangan sebaliknya. Penemuan ini tidak menyenangkan pihak gereja Rom. Pertentangan gereja ini mencapai puncaknya di tahun 1616 apabila Galileo diperintahkan untuk mendiamkan diri daripada menyebarkan pandangan Copernicus.

Ini hanya sekadar satu contoh percanggahan antara ilmu dan agama-agama selain daripada agama Islam. Seandainya kita meneliti hasil karangan Dr. Maurice Bucaille yang bertajuk ‘The Bible, the Qur’an and Science’, kita akan dapati betapa bercanggahnya aqidah Kristian dengan teori ilmu pengetahuan yang hanya akan menyebabkan kegusaran yang amat ketara di kalangan pendeta Kristian. Fenomena ini tidak akan berlaku sama sekali dalam dunia ilmu Islam. Para ilmuan Islam bebas mengkaji ilmu pengetahuan kerana mereka yakin bahawa Islam yang dipegang oleh mereka sama sekali tidak akan bercanggah dengan penemuan ilmu yang dijumpai malahan penemuan ilmu yang terzahir hanya kan menambahkan lagi kekuatan iman mereka terhadap keesaan Allah dan kebenaran Al-Quran sebagai kalam Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallalahu `Alaihi Wasallah. Contoh ini boleh teman-teman pembaca kutip melalui buku ‘The Bible, the Qur’an and Science’ yang saya nyatakan tadi.

Di dalam Al-Quran, Allah telah menempelak golongan Bani Israel yang menolak kepimpinan Thalut yang dilantik oleh Allah sebagai raja Bani Israil atas sebab alasan ketidakmasyhuran dan ketidakpunyaan wang dan harta. Allah telah menyatakan bahawa perlantikan Thalut adalah atas dasar dua kelebihan yang dimiliki oleh Thalut iaitu :

a) kekuatan ilmu
b) kekuatan tubuh badan.

Allah Taala berfirman:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Yang bermaksud:
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya

b) Al-Quran menuntut masyarakat manusia agar membaca

Di dalam sejarah Islam, kita tidak mampu untuk menyangkal bahawa ayat Al-Quran yang pertama diturunkan kepada Rasulullah adalah ayat yang menggesa manusia agar membaca. Ayat yang saya maksudkan tadi adalah:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ َ

Yang bermaksud:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ini adalah satu penghormatan daripada Allah terhadap aktiviti membaca yang akan membawa pembaca kepada mengagungkan Allah seandainya pembacaan tersebut adalah satu pembacaan yang inginkan maklumat serta ilmu yang didasari dengan keinsafan dalam mencari kebenaran.
c) Sejarah Islam bukti bahawa Islam mengubati masalah buta huruf.

Mungkin teman-teman pembaca masih mengingati kisah perang Badar yang sangat masyhur di dalam sejarah kebangkitan umat Islam. Kemenangan yang berpihak kepada umat Islam menatijahkan kepada tertawannya 70 orang tentera musyrikin Mekah yang turut diberikan pilihan untuk dibebaskan seandainya tidak mempunyai wang dengan cara mengajar anak-anak kecil orang Islam di Madinah membaca dan menulis. Ini adalah sebagai satu isyarat bahawa Islam ingin membebaskan ummah daripada penyakit “buta huruf” kerana dengan penguasaan ilmu pengetahuan berdasarkan membaca dan menuntut ilmu dengan guru-guru akan menjadikan sesuatu masyarakat itu bertamadun dari sudut ilmu yang akan membawa ummah tersebut ke mercu kegemilangan.

Selain itu kita juga dapati bahawa Allah Taala menurunkan suhuf-suhuf dan empat buah kitab suci iaitu Al-Taurah, Al-Zabur, Al-Injil dan Al-Quran kepada para nabi dan rasul untuk dibacakan dan diperdengarkan kepada ummah masing-masing. Secara halus, suhuf-suhuf dan kitab-kitab suci ini tidak akan mampu untuk diambil manfaat melainkan dengan membaca.

Oleh itu ini adalah satu isyarat halus yang menunjukkan bahawa Islam ingin menjadikan masyarakat muslim semenjak zaman nabi-nabi yang terdahulu sehinggalah ummah Rasulullah yang terakhir sebagai satu ummah yang mampu untuk membaca sehingga mampu untuk memahami isi kitab-kitab suci seterusnya mampu untuk menguasai ilmu pengetahuan lain yang akhirnya akan membawa kepada kebenaran yang hakiki yang akan menyaksikan bahawa Allah Taala adalah zat yang satu-satunya berhak disembah dan diagungkan sebagai tuhan sekalian alam.

4. Penutup

Semoga makalah kecil ini dapat meningkatkan lagi tahap pembacaan kita yang mungkin terlalu kurang. Dalam usaha ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kesedaran ummah dalam memahami konsep agama Islam sebagai Rahmatan Lil `Alamin, masyarakat muslim dan khususnya para ilmuan Islam perlu meningkatkan tahap pembacaan demi menambahkan ilmu pengetahuan yang semestinya tidak akan mampu untuk diraih kesemuanya daripada majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para ulama Islam. Kitab-kitab karangan ulama dan tokoh ilmuan dahulu dan sekarang yang berkemungkinan bersarang di dalam rumah kita perlu untuk kita tatap kembali dan selidiki bagi mengutip mutiara-mutiara ilmu Allah yang Maha Luas.

وصلى الله علي سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين آمين

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: